Ahad, 31 Oktober 2010

Alhamdulillah.... Berakhirnya Penantian 40 tahun...

Kelantan Juara Piala Malaysia 2010

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa meraikan bersama-sama pemain menjulang Piala Malaysia 2010.

NEGERI SEMBILAN 1
Shahurain Abu Samah (pen m-14)

KELANTAN 2
Hairuddin Omar (m-57)
Muhd Badhri Radzi (m-65)

KUALA LUMPUR – Kelantan muncul juara Piala Malaysia edisi kali ke-84 setelah mengalahkan juara musim lalu, Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi.

Lebih manis, kejayaan muncul juara pertama kali itu merupakan hadiah istimewa sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V. Kejayaan malam tadi membolehkan nama Kelantan terpahat dalam senarai pemenang kali pertama dalam perebutan piala paling berprestij itu sejak ianya dipertandingkan pada tahun 1921.

Beraksi dihadapan hampir 90,000 penonton, dengan didominasi sokongan penyokong setia Merah Putih, The Red Warriors jelas membuktikan mengapa mereka tidak boleh digelar sebagai kuasa baru dalam arena bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi kelas yang tersendiri biarpun ketinggalan satu gol pada separuh masa yang pertama.

Sementara kekalahan malam tadi memaksa barisan pemain Negeri Sembilan menelan kepahitan gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu apabila terpaksa merelakan piala tersebut untuk dibawa pulang ke bumi Negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.

Dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua menerusi jaringan Hairuddin Omar dan Muhd Badhri Radzi akhirnya menjulang Kelantan sebagai juara baru Piala Malaysia edisi kali ke-84.

Seawal minit pertama, Kelantan terlebih dahulu menguji pintu gol Negeri Sembilan apabila sepakan percuma Ketua Pasukan, Indra Putra Mahayuddin dari sebelah kanan penjuru pintu gol ditanduk tinggi oleh Mohd Rizal Fahmid Abd Rosid melepasi palang gol Negeri Sembilan.

Selang seminit kemudian, Negeri Sembilan melakukan serangan balas menerusi lorongan bola Abdul Halim Zainal kepada rakan sepasukan namun Khairul Fahmi Che Mat bijak meluru keluar menyelamatkan situasi tersebut.

Pada m-7, Negeri Sembilan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila hantaran lintang S Kunalan disambut Idris Abdul Karim tetapi tampanan kurang kemasnya mudah diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-14, Negeri Sembilan dihadiahkan sepakan penalti setelah Khairul Fahmi menjatuhkan pemain Negeri Sembilan didalam kotak penalti dalam usahanya menyelamatkan pintu gol Kelantan daripada dibolosi. Penyerang, Shahurain Abu Samah yang mengambil sepakan tersebut mudah menewaskan Khairul Fahmi seterusnya menghasilkan gol pertama Negeri Sembilan.

Walaubagaimanapun, gol pendahuluan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Kelantan. Pada m-29, Kelantan mempunyai peluang terbaik merapatkan jurang apabila Hairuddin Omar berjaya melepasi perangkap ofsaid namun penjaga gol, Mohd Sani Annuar Kamsani terlebih dahulu meluru keluar menyelamatkan bola.

Sebaliknya Negeri Sembilan lebih ghairah memburu jaringan apabila dilihat lebih banyak menjanakan corakan serangan melalui rangkaian penyerang muda, Shahurain Abu Samah dan Abdul Halim Zainal yang mendapat sokongan jentera tengah mereka.

Dua peluang terbaik Negeri Sembilan hadir pada m-30 dan 34 perlawanan menerusi percubaan jarak jauh Idris dan Kunalan yang menyaksikan ianya sekadar tersasar dan terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Minit-minit akhir separuh masa pertama, Kelantan mempunyai tiga peluang terbaik merapatkan jurang menerusi percubaan Hairuddin, Indra Putra dan Mohd Norfarhan namun ketangkasan Mohd Sani Annuar menghampakan peluang tersebut.

Babak kedua, Kelantan seakan mendapat aura baru apabila menguasai hampir keseluruhan tempo permainan. Pada m-51, Hairuddin mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol menerusi tandukan tetapi sempat ditampan keluar oleh pemain pertahanan Negeri Sembilan manakala rembatan susulan Muhd Badhri selepas itu sekadar melepasi palang.

Detik malang bagi Negeri Sembilan bermula enam minit kemudian. Bermula larian bola Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kanan pintu gol, beliau melakukan hantaran lintang kepada Hairuddin yang menanduk cantik ke penjuru sebelah kanan pintu gol menewaskan Mohd Sani Annuar.

Gol penyamaan tersebut ternyata membakar semangat juang pemain Kelantan sementara Negeri Sembilan terus tertekan selepas kehilangan bek kental mereka, Aidil Zafuan Abdul Radzak yang terpaksa diusung keluar selepas itu kerana mengalam kecederaan.

Pada m-62, Negeri Sembilan sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan kali ini melalui menerusi percubaan Shahurain yang merembat kencang tetapi diselamatkan Khairul Fahmi.

Pada m-65, Stadium Nasional Bukit Jalil kembali bergema dengan sorakan 70,000 penyokong setia Kelantan apabila Muhd Badhri Radzi berjaya menjaringkan gol kemenangan Kelantan.

Kelalaian benteng pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi terhukum apabila beliau yang menerima umpanan Mohd Norfarhan sebelum itu hanya memerlukan tiga langkah sahaja sebelum melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sani Annuar buat kali kedua.

Negeri Sembilan yang kian tertekan memasukkan penyerang muda, Mohd Shafik Abdul Rahman menggantikan Qhairil Anwar Roslani namun itu tidak cukup membantu mereka mencari gol penyamaan.

Dua percubaan terbaik mereka pada m-80 dan masa tambahan masing-masing menerusi Shahurain dan Idris menyaksikan Khairul Fahmi sekali lagi menjadi penghalang buat mereka dalam usaha mencari gol penyamaan.

Sementara itu, sepakan percuma Indra Putra pada m-85 sekadar tersasar ke sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan.

Tiupan wisel penamat pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh mengakhiri penantian Kelantan selama 89 tahun menjulang Piala Malaysia dan piala paling berprestij itu akan kekal disimpan di bumi negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kalinya.

Sementara itu, penjaring gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi, Hairuddin Omar diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin (Akmal Rizal Ahmad Rakhli), Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid, Zairul Fitree Ishak, Muhd Badhri Radzi, Indra Putra Mahayuddin (KP), Mohd Shakir Shaari (Khairan Eroza Razali), Mohd Norfarhan Muhammad, Hairuddin Omar dan Norshahrul Idlan Talaha (S Chanturu).

FORMASI : 4-4-2

NEGERI SEMBILAN : Mohd Sani Anuar Kamsani, Mohd Alif Samsudin, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (KP) (Mohd Firdaus Azizul), Mohd Shukor Adan, Tengku Qayyum Ubaidhillah Tengku Ahmad, Ching Hong Aik (Mohd Asyraf Mohd Al Japri), Qhairil Anwar Roslani (Mohd Shafik Abdul Rahman), S Kunalan, Idris Abdul Karim, Abdul Halim Zainal, dan Shahurain Abu Samah.
FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Negeri Sembilan (9) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Negeri Sembilan (3) Kelantan (4)
Sepakan sudut : Negeri Sembilan (2) Kelantan (11)
Sepakan percuma : Negeri Sembilan (17) Kelantan (18)
Offsaid : Negeri Sembilan (2) Kelantan (2)
Kekasaran : Negeri Sembilan (15) Kelantan (14)
Kad kuning : Negeri Sembilan (Mohd Shukor Adan, Mohd Firdaus Azizul, Mohd Alif Samsudin) Kelantan (Mohd Shakir Shaari)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Tujuh minit
Penguasaan bola : Negeri Sembilan (45%) Kelantan (55%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Subkhiddin Mohd Salleh
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Nojey Anak Nakeng
Pegawai Keempat : Mohd Nafeez Abd Wahab
Komisionel Perlawanan : Ismail Yacob
Penilai Pengadil : Ahmad Khalidi Suppian
General Kordinator : Ahmad Fuad Daud
Pegawai Media : Raja Azura Shamim

Sumber : Kelantan.net

Rabu, 27 Oktober 2010

SEJARAH BARU AKAN TERCIPTA...

Di setiap pelusuk tempat di negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya, setiap orang yang berasal dari Kelantan sekarang ini sibuk berbicara mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada 30hb nanti. Popularnya perlawanan tersebut sehinggakan rakyat Kelantan sekarang sudah lupa bahawa ada satu lagi perkara yang penting akan berlaku pada 4hb Nov nanti iaitu Pilihanraya kecil Dun Galas.

Begitulah hebatnya penangan sukan bolasepak ini kepada rakyat Kelantan. Boleh dikatakan di mana saja di Kelantan, daripada budak kecil sehinggakan dewasa memakai baju The Red Warrior tidak kira yang original atau pun ‘Siam’. Trend sebegini kita tidak akan dapat lihat pada negeri lain walaupun ketika pasukannya berada di puncak. Seolah-olah mereka tidak segan silu untuk memakainya untuk pergi ke mana-mana saja. Itu menunjukkan bahawasanya rakyat Kelantan amat bangga dengan pencapaian pasukan The Red Warrior setakat ini.

Tetapi, langkah untuk menuju ke perlawanan akhir ini sebenarnya penuh berliku dan ranjau. Perlawanan peringkat kumpulan A Piala Malaysia yang menampakkan kepincangan pasukan kita pada awalnya. Ramai pihak yang tidak dapat sabar terus menyuarakan pendapat agar B Sathianathan meletakkan jawatan serta merta. Tetapi B Sathianatahan bukanlah orang yang cepat melatah dan berputus asa walaupun pada awalnya beliau cukup terkesan dengan telatah segelintir peminat yang inginkan kemenangan berterusan. Mujurlah keputusan di Paroi berkesudahan dengan seri 2-2. Jika tidak, B Sathianathan akan mengotakan janjinya untuk meninggalkan pasukan Kelantan. Tapi saya percaya beliau tidak akan melakukannya. Dan seterusnya kita dapat menumbangkan Selangor dengan penuh bergaya di Suku Akhir.

Pada masa itulah,The Red Warrior betul-betul menunjukkan mutu permainan pada tahap maksimum yang tidak akan dapat disaksikan dalam perlawanan lain sehinggakan penyokong Selangor sendiri tidak percaya dan terkesima dengan aksi longlai pemain mereka seolah-olah dirantai sepenuhnya oleh pemain Kelantan. Bermula dengan aksi meyakinkan di Shah Alam, kita teruskan pula di Kota Bharu dengan menenggelamkan Gergasi Merah Kuning dengan egonya sendiri.

Pada saat itu, saya sudah berkeyakinan yang pemain Kelantan sudah bertemu rentak dan amat bersemangat untuk melakar kemenangan demi kemenangan. Sehinggalah sekarang kita sudah berada di pentas ‘FINAL’ untuk kali kedua dalam masa dua tahun berturut-turut. Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi sebuah pasukan yang diangkat secara kebetulan daripada Liga Perdana ke Liga Super pada tahun 2009 ini nampaknya merupakan pasukan yang boleh dikatakan terbaik antara yang terbaik. Diterajui oleh Presiden yang amat komited, barisan kepimpinan yang lain dan Ketua Jurulatih yang tidak kenal putus asa dan bersemangat waja, maka pada hari ini kita sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada KAFA yang sudah mencipta dan terus akan mencipta sejarah baru di bumi Kelantan yang tercinta.

Pada 30hb ini, kita semua rakyat Kelantan akan berkumpul sekali lagi di Bukit Jalil dan akan menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia yang amat berprestij di Malaysia. Saya berdoa agar kita dapat mencipta sejarah baru untuk negeri kita. Kita sudah lama memerhati daripada jauh. Sekarang sudah tiba masanya untuk kita menggenggam erat Piala Malaysia yang menjadi idaman kita sejak daripada dahulu lagi. Ayuh Pahlawan The Red Warrior. Tunjukkan aksi hebat mu itu. Berkat doa dan tawakal seluruh rakyat Kelantan, saya amat yakin kita akan dapat menumbangkan Negeri Sembilan pada hari sabtu nanti. InsyaAllah..GOMO KELATE GOMO..!!

Nama: Nik Najmuddin
Umur: 30 tahun
Lokasi: Kg Baru, KL
Asal: Kubang Kerian, Kelantan